Epsilon Eridani
Epsilon Eridani

Epsilon Eridani

Epsilon Eridani (ε Eri, ε Eridani) ialah sebuah bintang di bahagian selatan buruj Eridanus, pada keserongan 9.46° selatan khatulistiwa samawi. Ini membolehkannya dilihat dari kebanyakan tempat di permukaan bumi, pada jarak 10.5 tahun cahaya, ia mempunyai magnitud ketara 3.73. Ia merupakan bintang individu atau sistem bintang ketiga terdekat yang membolehkannya dilihat dengan mata kasar dan merupakan bintang yang terdekat yang diketahui mempunyai pelanet sehinggalah penemuan yang tidak disahihkan bagi Alpha Centauri Bb. Usianya dianggarkan kurang dari satu bilion tahun. Disebabkan usianya yang masih muda, Epsilon Eridani mempunyai keaktifan magnet yang tinggi berbanding Matahari masa kini, dengan angin najam sekuat 30 kali ganda. Tempoh putarannya ialah 11.2 hari di khatulistiwanya. Epsilon Eridani adalah lebih kecil dan kurang berjisim berbanding Matahari, dan secara bandingannya mempunyai sedikit unsur yang lebih berat daripada helium.[10] Ia merupakan bintang jujukan utama bagi kelas spektrum K2, yang bemaksud tenaganya dijana di teras melalui pelakuran nuklear hidrogen yang dipancarkan ke permukaan pada suhu lebih kurang 5,000 K, yang memberikannya warna kejinggaan.Pergerakan Epsilon Eridani sepanjang garis penglihatan dari Bumi, dikenali sebagai halaju jejarian, sering dicerap lebih daripada dua puluh tahun. Perubahan berkalanya memberikan bukti tentang kewujudan planet gergasi mengelilingi Epsilon Eridani, menjadikannya satu daripada sistem luar suria dengan calon planet yang terhampir.[11] Objek tersebut, Epsilon Eridani b, secara rasminya diumumkan pada tahun 2000 oleh sepasukan ahli astronomi yang diketuai oleh Artie Hatzes.[11] Data terkini menunjukkan yang planet ini mengelilingi bintangnya dalam tempoh 7 tahun dengan pemisahan purata 3.4 unit astronomi (AU), 1 AU pula bersamaan jarak purata antara Bumi dan Matahari.[12] Walaupun peneman ini berkontroversi disebabkan jumlah hingar latar belakang bagi data halaju jejariannya yang tinggi,[13] banyak ahli astronomi menganggap kewujudan planet tersebut sebagai sahih.Sistem tersebut termasuklah dua gegelung batuan asteroid: satu pada 3 AU dan yang kedua pada kedudukan lebih kurang 20 AU, yang strukturnya dipelihara oleh planet hipotesis kedua, Epsilon Eridani c.[14] Epsilon Eridani turut mempunyai cakera puing luaran bagi sisa planetesimal hasil baki semasa pembentukan sistem tersebut.[15]Penamaan Epsilon Eridani diasaskan pada tahun 1603 oleh Johann Bayer. Ia berkemungkinan sebahagian daripada bintang Kumpulan Bergerak Ursa Major yang berkongsi pergerakan serupa merentasi Bima Sakti, menunjukkan yang bintang ini berkongsi asal usul ari sebuah kelompok terbuka. Jiran terdekatnya, sistem bintang deduaan Luyten 726-8, akan berada pada kedudukan paling hampir dengan Epsilon Eridani dalam lebih kurang 31,500 tahun yang ketika itu hanya dipisahkan lebih kurang 0.93 ly.[16] Sebagai bintang menyerupai Matahari yang terhampir dengan potensi untuk mempunyai hidupan,[17] Epsilon Eridani telah menjadi sasaran dalam pencarian SETI. Epsilon Eridani muncul dalam kisah cereka sains dan dicadangkan sebagai destinasi penjelajahan antarnajam.[18] Dari Epsilon Eridani, Matahari akan kelihatan sebagai sebuah bintang dengan magnitud 2.4 di Serpens.[note 1]

Rujukan

WikiPedia: Epsilon Eridani http://books.google.com/?id=NpMoAAAAYAAJ&pg=PA174 http://books.google.com/?id=arYYRoYjKacC&pg=PA174 http://books.google.com/books?id=qHJKAAAAYAAJ http://www.solstation.com/stars/eps-erid.htm http://irsa.ipac.caltech.edu/applications/Gator/ http://www.astro.gsu.edu/RECONS/TOP100.posted.htm http://adsabs.harvard.edu/abs/1884Natur..30..156. http://adsabs.harvard.edu/abs/1917ApJ....46..313A http://adsabs.harvard.edu/abs/1967IAUS...30...57E http://adsabs.harvard.edu/abs/1984SAAOC...8...59C